Tanda tanya mengenai bila pemain warisan baharu akan menyertai skuad Harimau Malaya akhirnya terlerai apabila dua pemain, Hector Hevel dan Gabriel Palmero, kelihatan di padang pada sesi latihan rasmi pasukan kebangsaan hari ini.
Melalui satu ciapan di Instagram Malaysia National Team, kelibat kedua-dua pemain yang baru menyertai skuad Harimau Malaya ini telah menyertai latihan pusat dan dilihat sedang dibimbing oleh Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain, yang turut membantu Peter Cklamovski dalam sesi latihan kali ini.
"Pemain Malaysia dari luar negara sudah pun tiba, selamat datang kepada Hector Hevel dan Gabriel Palmero," - Instagram Malaysia National Team
Sesi Latihan Penuh Semangat untuk Kelayakan Piala Asia
Skuad Harimau Malaya kini sedang giat melakukan persiapan rapi menjelang aksi pembuka tirai Kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 25 Mac ini. Kedua-dua pemain warisan baharu itu dijangka memberikan nilai tambah kepada pasukan yang bakal bersaing dalam kejohanan tersebut.
Pengumuman Pemain Warisan Baharu Sejak Januari
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, telah mendedahkan bahawa pemain warisan baharu yang layak sudah melaporkan diri pada 31 Januari lalu. Namun, kelulusan rasmi daripada kerajaan Malaysia masih ditunggu.
"31 Januari semua sudah lapor. Cuma menunggu kelulusan kerajaan saja. Malas nak bising-bising," - Tunku Mahkota Ismail
Dengan kelibat Hevel dan Palmero yang kini sudah menyertai latihan rasmi, para peminat skuad Harimau Malaya pastinya menantikan sumbangan mereka dalam memperkukuhkan pasukan kebangsaan.
0 Ulasan
Jom komen ! :)