Arab Saudi Ikat Indonesia Di Jeddah
Arab Saudi Ikat Indonesia Di Jeddah. Impian menggunung pasukan jiran tertangga untuk memenangi perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia tidak kesampaian apabila mereka sekadar terikat dengan keputusan seri 1-1.
Perlawanan awal pagi tadi berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah. Gol Indonesia pada separuh masa pertama dicipta oleh Ragnar Oratmangoen pada minit ke-19.
Rembatan kaki kiri Ragnar terkena kaki pemain pertahanan kelab Liga Belgium KV Mechelen, Sandy Walsh yang kemudiannya menuju ke gawang, membuatkan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al Owais tergamam.
Sementara itu, Arab Saudi membalas dengan sepakan pemain tengah Musab Aljuwayr pada minit 45+3 yang bertukar arah akibat terkena badan pemain pertahanan Indonesia, Calvin Verdonk.
Pada perlawanan itu, pasukan kebangsaan Indonesia tampil mengejutkan dengan melaksanakan permainan menyerang.
Anak-anak jurulatih Shin Tae-yong tidak takut dengan nama besar Arab Saudi dan terus mengasak sejak awal.
Strategi ini menghasilkan jaringan pada minit ke-19 oleh Ragnar Oratmangoen yang membuatkan Arab Saudi bermotivasi untuk mencari gol penyamaan.
Namun, Indonesia mempunyai jawapan kepada setiap serangan lawan. Menggunakan formasi 5-4-1 apabila tidak mengawal bola, skuad yang diberi jolokan “Garuda” itu mampu mengurangkan serangan Arab Saudi.
Baca juga: Maarten Paes debut untuk pasukan kebangsaan Indonesia menentang Arab Saudi
Pemain pertahanan Indonesia yang diketuai bek tengah dan kapten Jay Idzes mempamerkan aksi mantap.
Idzes, Sandy Walsh, Nathan Tjoe A On, Rizky Ridho dan Calvin Verdonk bekerjasama menghalang tikaman pemain Arab Saudi.
Namun, pada minit 45+3, Arab Saudi berjaya menyamakan kedudukan menerusi Musab Aljuwayr. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-1.
Berikut adalah barisan kedua-dua pasukan.
Arab Saudi: Mohammed Al Owais-penjaga gol, Sultan Al Ghannam, Ali Lajami, Ali Al Bulayhi, Moteb Alharbi (33'-Saud Abdulhamid), Hassan Al Tambakti, Musab Aljuwayr, Salem Al Dawsari (kapten), Abdullah Al Khaibari, Mohammed Kanno , Abdullah Radif.
Indonesia: Maarten Paes, Calvin Verdonk, Jay Idzes (kapten), Rizky Ridho, Nathan Tjoe A On, Sandy Walsh, Thom Haye, Ivar Jenner, Ragnar Oratmangoen, Witan Sulaeman, Rafael Struick.
Post a Comment