Hamidin Berjumpa Pau Marti Di Sepanyol

Hamidin Berjumpa Pau Marti Di Sepanyol. Nampaknya presiden bola sepak Malaysia tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak bagi kemajuan bola sepak negara.


Selepas perletakan jawatan Kim Pan Gon, kini tugas jurulatih negara di ambil oleh Pau Marti Vicente yang juga barisan jurulatih kim pan gon sebelum ini.


Kebetulan, Daruk Hamidin berada di sepanyol untuk memantau pemain berbasikal trek negara yang berlatih di sana menjelang sukan olimpik, jadi dia menjemput Pau Marti yang pulang bercuti berjumpa dengannya.


Hamidin Berjumpa Pau Marti Di Sepanyol



Dalam satu posting di facebook FAM mengatakan : 


Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah mengadakan pertemuan dengan pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente di Mallorca, Sepanyol, pagi tadi.


Ia sebagai langkah segera bagi membincangkan hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih kebangsaan seperti yang diumumkan pada satu sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

Datuk Haji Hamidin yang merupakan Chef de Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.

"Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca, hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.

"Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya," kata Datuk Haji Hamidin.

Datuk Haji Hamidin turut memberitahu yang beliau sebagai Presiden FAM akan terus memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya dalam memastikan ranking FIFA terus dapat diperbaiki, selain persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 pada September ini dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, November depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.

"Cuma saya sedikit terkilan kerana beliau sebelum ini dengan penuh komited menyatakan mahu terus mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025.

"Tapi jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima. Jadi kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan Gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini.

"Saya yakin dan percaya bahawa Pau Marti dan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk E. Elavarasan akan meneruskan kesinambungan dan legasi yang ditinggalkan oleh Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya selepas ini," jelas beliau.

Sementara itu, Pau Marti berkata, apa yang dilaksanakan oleh Pan Gon akan diteruskan beliau dan juga barisan kejurulatihan yang lain bagi memastikan peningkatan positif skuad Harimau Malaya dapat diteruskan secara konsisten.

"Pertamanya saya sangat menghargai Coach Kim kerana beliau individu yang membawa saya ke Malaysia. Beliau hubungi saya, cuba meyakinkan saya untuk meninggalkan negara dan kelab saya untuk menyertainya mengendalikan skuad kebangsaan Malaysia, hampir tiga tahun yang lalu.

"Memang agak sedih apabila beliau telah meninggalkan pasukan. Beliau individu yang memberikan saya sokongan penuh untuk menggalas tanggungjawab baharu yang perlu saya pikul ini.

"Terima kasih kepada Datuk Haji Hamidin kerana memberikan kepercayaan ini. Tugas saya sekarang adalah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan di sepanjang tempoh dua setengah tahun ini.

"Semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa pasukan kita ini ke tahap tertinggi yang boleh dan membangunkan pasukan ini secara bersama.

"Kita sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.

"Jadi, selain perbincangan mengenai perancangan menjelang Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, saya dan Datuk Haji Hamidin turut sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan dibuat dengan lebih baik," kata Pau Marti.

Post a Comment

Jom komen ! :)

Terbaru Lebih lama